OGOS 2022

Pesta Nukenen Bario Beri Impak Kepada Pelancongan Sarawak


BARAM: Pesta Nukenen Bario atau lebih dikenali sebagai Pesta Makanan Bario merupakan salah satu tarikan pelancong dan akan memberikan impak kepada sector pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kehadiran pelancong ke kawasan Bario ini secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan penduduk.

“Kemasukan para pelancong dari dalam dan luar negeri Sarawak ini akan membantu dalam meningkatkan pendapatan penduduk melalui hasil jualan makanan dan barangan kraftangan.

“Para pengusaha inap desa juga akan dapat membantu mereka yang telah terjejas akibat wabak covid 19 sejak dua tahun lalu,”katanya semasa majlis pembukaan pesta berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, pesta ini juga merupakan usaha untuk mengembangkan budaya, kesenian dan alat-alat muzik kaum Kelabit  kepada masyarakat dunia luar sekaligus mempromosikan Bario kepada dunia luar.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala yang turut berucap memberitahu, pesta ini bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung khususnya yang bekerja di bandar dengan penduduk yang tinggal di kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu itu menambah, pesta ini juga adalah untuk mempromosikan budaya dan tradisi Kaum Kelabit kepada masyarakat luar seterusnya dapat memperkembangkan industri pelancongan.

“Kaum Orang Ulu terkenal dengan budaya dan adat yang berwarna warni yang secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada generasi muda untuk mengenali dan mewarisi adat serta budaya nenek moyang mereka supaya tidak hilang ditelan zaman,”kata Dato Gerawat. Turut hadir adalah Pengerusi Sarawak Tourism Board merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau, Pengerusi Rurum Kelabit Sarawak Dato Dr Philip Raja, dan Pengerusi Pengelola Program Lilla Raja Holder.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS